Di dalam kelas, pensyarah meminta untuk menulis sebuah
perenggan pendahuluan bertajuk ‘kerja paling seronok di dunia’ (dibaca: the
best job in the world).
Lalu, saya pun terus menulis perenggan tersebut. Sepatah demi
sepatah perkataan dan akhirnya saya menyatakan menjadi ahli perniagaan adalah
yang terbaik di dunia.
Kawan Rusia di sebelah saya bertanya (perbualan dalam bahasa
inggeris tetapi ditulis dalam bahasa melayu). Apa kerja yang awak tulis? Saya menjawab,
ahli perniagaan. Ditanya kembali kepada saya kenapa ahli perniagaan? Saya jawab,
kerana pulangan yang lumayan. Kerja banyak untung pun banyak.
Radik(nama sebenar) pun berkata, kita sepatutnya cuba untuk
letak kerja yang mampu untuk membangunkan masyarakat. Kerja yang diperlukan dan
berkhidmat untuk masyarakat. Saya tanya semula, kerja yang macam mana? Dia pun
terus menunjukkan tulisan beliau. Dalam perenggan beliau menyatakan, cikgu,
saintis dan ahli perniagaan adalah kerja yang terbaik di dunia. Kerana kerja-kerja
itu diperlukan untuk membangunkan, mendidik dan membantu dalam membina
masyarakat.
Kawan saya menyatakan lagi bahawa, dunia pekerjaan adalah
suatu masa yang pasti ditempuhi oleh manusia, sama ada mahu atau tidak dan
sedar ataupun tidak. Memang lumrah untuk manusia memiliki pekerjaan. Cumanya,
pekerjaan itu seharusnya membolehkan kita untuk menyumbang sesuatu kepada
masyarakat. Kenapa cikgu? Sebab cikgu adalah individu yang berperanan mendidik,
bukan sekadar mengajar subjek dan menyelesaikan masalah pelajaran. Malah,
peranan terbesar itu adalah membentuk manusia. Mengapa ahli perniagaan? Kerana individu
inilah yang akan menyumbangkan harta atau sebarang keperluan lain untuk
membangunkan masyarakat. Ahli saintis? Kerana pembangunan memerlukan ilmu,
penyelidikan serta pembaharuan dan penemuan. Mengambil contoh pada Amerika yang
mampu membangunkan negara yang maju sungguhpun mereka mengalami ketandusan
jiwa. Lihat lagi di Jepun yang mempunyai disiplin tinggi hingga mampu bangkit
dengan jayanya walaupun negaranya dibom hingga menjadi padang jarak padang
tekukur.
Masyarakat pada masa dahulu amat menghargai segala apa yang
dicapai. Mungkin pembangunan adalah sesuatu yang jarang suatu masa dahulu. Tetapi
jika dapat melihat apa yang ada pada hari ini, mereka menghargai.
Tidak ada apa-apa nilai pada pekerjaan sekiranya ia tidak
dilakukan bersungguh-sungguh, ikhlas dan semangat yang tinggi. Seorang cikgu
hanya seorang cikgu biasa jika dia tidak bersungguh dalam mendidik anak
muridnya. Seorang saintis hanya akan menyebabkan kerosakan jika tidak dia tidak
ingin berbakti kepada masyarakat. Seorang ahli perniagaan hanya akan menekan
masyarakat jika dia tidak pernah terdetik buat seketika untuk berbakti kepada
manusia.
Apa yang cuba disampaikan oleh sahabat Rusia saya adalah
penting untuk kita sentiasa memikirkan bagaimana dengan apa yang kita ada dapat
digunakan untukmembangunkan masyarakat. Apakah solusi kepada masalah generasi
hari ini yang jarang sekali menghargai nikmat yang diperoleh.
Jadilah kita seperti daun halus pada pokok yang berperanan
penting untuk tumbesaran pokok.
Wallahua’lam.