Tuesday, 7 April 2015

Sebulan Mengajar

Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillah, sudah sebulan saya mula mengajar di Politeknik Nilai. Satu fasa baru yang menuntut saya untuk menjadi lebih baik dari segi ilmu, pengetahuan, kemahiran, sikap, kefahaman, teknik mengajar dan yang paling penting sekali adalah tarbiyah diri.

Teringat pesan seorang kawan saya suatu masa dahulu ketika beliau hendak melansungkan pernikahan beliau, "sentiasalah perbaharui niat. setiap hari, setiap masa dan setiap peristiwa yang berlaku, perbaharui niat kamu." Sungguh, mesejnya itu cukup jelas dan ringkas. Namun, tuntutan untuk sentiasa memperbaharui niat itu sangat signifikan jika dikaitkan dengan kehidupan seharian kita ini.

Setiap hari, saya akan menunggang motosikal ke tempat kerja. Thumb in untuk rekod kehadiran harian ketika tiba di pejabat. Berada di ruang kerja. Mengadap komputer untuk melihat emel-emel baru. Melaksanakan sebarang kerja yang perlu disiapkan segera atau yang baru diberi oleh orang atasan. Tiba waktu tengahari, keluar berehat bersama kawan kerja. Menunaikan solat zohor di surau politeknik. Masuk semula ke pejabat. Menyambung semula kerja yang ada (jika ada). Selesai waktu kerja, thumb out dan solat asar. Selesai solat, bergerak pulang. Ketika di rumah, membuat apa-apa kerja rumah yang ada atau hanya duduk berehat. Jika ada sebarang aktiviti, keluar melaksanakan aktiviti. Dan aktiviti ini berulang dari hari ke hari dengan sedikit penambahan atau kekal sahaja.

Ini hanyalah sedikit coretan yang dikongsikan secara ringkas. Saya yakin, hidup kita semua tidaklah seringkas itu. Pasti, kita akan menggunakan masa kita berbuat sesuatu yang kita rasakan berfaedah. Namun apa yang cuba hendak ditekankan adalah, keperluan berniat dalam setiap apa yang kita buat. Kita punyai cita-cita besar. Kita ada impian yang besar. Sungguh sayang sekali, jika kita tidak menetapkan niat dalam setiap perkara yang kita buat kerana dirisaukan, kerja itu akan membuat kita letih, lesu dan rasa lemah.

Setiap hari saya berjumpa dengan para pelajar membuat saya rasa bersemangat. Kerana mendidik bukanlah suatu perkara yang mudah. Tetapi sangat menggembirakan kerana menyampaikan sesuatu ilmu adalah perkara yang sangat bermakna buat saya. Melihat kejayaan yang anak murid kita capai suatu hari nanti adalah sesuatu yang sangat menggembirakan. Justeru, saya berdoa agar Allah SWT memberi keteguhan dalam diri kita semua agar sentiasa kuat dan tabah juga sentiasa beringat agar diperbetul, diperbaharui dan dipebanyakkan niat agar kita berada di atas jalan yang benar. Wallahua'lam.