Bismillahirrahmianirrahim,
Pada hari ahad yang lepas, saya bersama rakan telah pergi ke Jalan Panggong. Di mana, berkumpulnya ramai manusia gelandangan darang untuk mengambil makanan. Mengiai perut yang entah berapa lama tidak menjamah makanan. Mungkin makan, mungkin tidak. Mungkin cukup, mungkin tidak. Walau apa-apapun, itulah kehidupan mereka sehari-harian. Syukur kerana terdapat sekelompok anak muda yang mahu memikirkan dan mendalami kehidupan gelandangan ini. Dan kelompok ini pastinya ramai lagi di serata Malaysia yang mempunyai empati yang sama.
Kehidupan di bandar, menuntut penghunimya untuk bergerak pantas. Menyelesaikan tugasan atau kerja yang diberi oleh orang atasan. Menghantar dokumen kepada penerimanya. Bertemu pelanggan dan sahabat perkongsian. Membuka kedai untuk mencari nafkah. Bergerak menuju ke tempat kerja. Sehingga boleh saya katakan, sekurang-kurangnya, 1/3 dari seharian penghuni bandar adalah di atas jalanraya kerana mereka perlu sentiasa bergerak. Kesesakan di sana sini. Hingga akhirnya, apabila kita sentiasa bergerak pantas ini, kita, saya terlupa untuk menikmati apa yang ada di sekeliling.
Allah berkata di dalam al Quran menyeru manusia untuk berjalan, mengembara, melihat dan berfikir tentang kebesaran Allah, penciptaan-penciptaanNya, kesan dan akibat dari golongan terdahulu dan banyak lagi. Supaya dengan apa yang kita dapat dari perjalanan itu, ia membina pengalaman baru untuk kita. Menambah pengetahuan. Mendapat kawan-kawan baru. Menjadi matang dalam kehidupan kita. Dengan kematangan itu, menjadikan kita lebih rasional. Lebih menghargai segala apa yang berlaku. Rasional itu hujah dalam menegakkan kebenaran. Dan kebenaran itu akan menumbangkan kebatilan. Kebenaran itu sifatnya jelas. Yang jelas itu datangnya hanya dari Allah.
Maka kehidupan ini akan menjadi lebih bermakna.
Seringkali, saya membawa kenderaan dengan pantas. Menempuh lebuhraya dan jalan-jalan kecil. Menaiki motor ataupun berjalan sahaja. Seringkali juga, saya terlepas, untuk melihat apa yang ada di sekeliling saya. Gunung yang tinggi dan teguh. Langit yang biru. Matahari di waktu pagi dan senja. Malam yang indah dihiasi bulan dan bintang. Lautan yang terbentang luas. Hutan yang menghijau. Semuanya membawa mesej tertentu yang perlu kita fikir agar kita menjadi lebih dekat dengan Allah. Setiap satu ciptaanNya itu mempunyai keistimewaan tersendiri.
Kehidupan ini akan mampu dinikmati dengan bergerak perlahan. Kita mampu untuk lihat dengan teliti di sekeliling kita. Merefleksi dan muhasabah semula apa yang telah kita buat sepanjang masa yang lepas. Kenalpasti segala kelemahan diri agar dapat diperbaiki. Melihat ke lorong lorong kehidupan manusia lain yang serba kekurangan. Kerana kita memang dicipta untuk sama lain. Kita bukan sekadar memenuhi kehendak orang lain. Tapi juga keperluan yang dinikmati bersama.
Akhirnya ketika itu, kehidupan kita akan lebih dinikmati bila kita bergerak perlahan dan melihat ke sekeliling kita dengan pandangan seekor helang yang sedang terbang di udara.
Wallahua'lam.



No comments:
Post a Comment