Sunday, 23 June 2013

Masa Muda-Muda

Bismillahirrahmanirrahim,

Katakanlah: "Berjalanlah di muka bumi, Kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan itu." Katakanlah: "Kepunyaan siapakah apa yang ada di langit dan di bumi." Katakanlah: "Kepunyaan Allah." dia Telah menetapkan atas Diri-Nya kasih sayang. dia sungguh akan menghimpun kamu pada hari kiamat yang tidak ada keraguan padanya. orang-orang yang meragukan dirinya mereka itu tidak beriman 
(Surah Al-An’am ayat 11-12)

Apa kaitan dengan masa muda-muda? :D


Dari Ibnu ‘Abbas, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَ صِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَ غِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَ فَرَاغَكَ قَبْلَ شَغْلِكَ وَ حَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ

“Manfaatkan lima perkara sebelum lima perkara :
Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu,
Waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu,
Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu,
Masa luangmu sebelum datang masa sibukmu,
Hidupmu sebelum datang kematianmu.”

Antara hobi saya adalah mengembara. Pernah saya berjumpa dengan seorang pakcik, beliau berkata selagi masih muda, banyak tenaga, banyak masa terluang dan bersemangat, pergilah mengembara. Banyak benda kita boleh belajar bila kita mengembara. 

Masa muda ini, saya ingin mengembara mencari pengalaman, 
Saya ingin mendalami ilmu di mana saja tempat yang saya singgah,
Saya ingin berkenalan dengan ramai manusia agar saya dapat mengenal sifat manusia yang Allah telah ciptakan,
Saya ingin belajar dan mengajar sehingga bila-bila,
Saya ingin mencipta kenangan kepada sahabat-sahabat saya,
Saya ingin membina ramai manusia supaya mereka menjadi lebih berguna,
Saya sendiri ingin menjadi manusia yang berguna kepada ibubapa, sahabat, guru, pensyarah dan masyarakat.

Sungguh banyak yang ingin saya buat masa muda agar ia kelak menjadi saksi di hadapan Tuhan ketika ditanya apakah yang telah saya lakukan waktu muda. 

Sahabat, tegurlah saya andai saya melakukan salah dan silap. Semoga kita semua bersatu di syurga kelak. Insha Allah. 

Masa muda-muda....





Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan!

Bismillahirrahmanirrahim,

Jika anda pernah terbaca buku-buku berkenaan tokoh-tokoh hebat yang terdahulu ataupun masa kini, kita pasti akan mendapat satu persamaan yang ada pada mereka semua.

Apakah itu?

Salah satunya adalah semangat dan usaha yang tidak pernah luntur dalam mencapai cita-cita.

Mereka adalah manusia yang mampu untuk terus kekal dalam momentum usaha dan sentiasa menggandakan usaha mereka sekiranya asa halangan. Tidak pernah mengaku kalah tatkala ditimpa masalah. Jarang sekali mengeluh ketika penat dalam mendapatkan hasil yang baik. Kurang mengadu kepada orang lain. Sentiasa mencari peluang dan tidak pernah berhenti mencuba. Hingga akhirnya, mereka mampu untuk membina diri mereka sendiri dan seterusnya mencipta lebih banyak lagi kejayaan.

Bagi mereka, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Sebagai Muslim, kita sepatutnya mampu membina diri kita sendiri dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni. Kejayaan bagi kita bukanlah sekadar pada nama. Namun kejayaan sebenar kita adalah di akhirat kelak. Iaitu syurga yang menjadi impian kita bersama.

Juga, tidak pernah berhenti berdoa dan mengharapkan pertolongan dari Allah SWT dan sentiasa mempertingkatkan keimanan, ketaqwaan dan sentiasa bertawakal.Sebagai Muslim, kejayaan itu seharusnya menjadi milik kita. Janganlah kita bersikap lemah dan bermalas malasan. Kawalkam nafsu dalam diri agar kita tidak terjerumus dalam kemaksiatan. Berpegang teguhlah pada tali Allah agar kita sentiasa dipandu dengan kebenaran bukannya kebatilan.

Ingatlah, saat kita lemah bukannya kerana kita tidak cukup sihat. Saat kita lemah bermakna hubungan antara kita dengan Yang Maha Kuasa tidak cukup utuh. Binalah kekuatan kita dari dalam. Kita punyai cita-cita dan matlamat yang jelas. Berhenti mengeluh. Dan ingatlah, ketika mana kita menghadapi masalah, ia mamou diselesaikan dengan izin Allah. Teruslah mara dan berusaha kerana di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. Mana mungkin Allah ingin menghalang manusia dari berbuat kebaikan kerana Tuhan itu Maha Adil. Carilah peluang bagi kita untuk terus menyumbang.

Ayuh kita ikhlaskan niat, kuatkan semangat dan terus berusaha ! 



(Moh kite!)

Saturday, 22 June 2013

Bersangka-sangka

Bismillahirrahmanirrahim,

Sifat bersangka ini memang wujud dalam diri kita. Cuma adakah ia sangkaan yang baik atau yang buruk. Tapi menjadi suatu yang 'normal' dalam masyarakat kita hari ini untuk bersangka buruk kepada manusia, ibubapa, sahabat dan lebih teruk lagi kepada Tuhan!

Bagaimana bersangka buruk kepada Tuhan ? Bila mana kita rasa tidak bersyukur, atau mengeluh dengan apa yang terjadi dan kita dapat. Kita tidak menilai ia dari sudut yang bijak. Kita hanya mahu supaya kehendak kita dituruti. Kita tak mampu nak berbuat kebaikan dengan apa yang kita ada. Malah, ada yang lebih melampau tatkala memburuk-burukkan Allah SWT sendiri. 

Kita lihat semula dalam al Quran bagaimana diceritakan tentang kaum yang terdahulu yang ingkar dengan Allah SWT. Mereka semuanya mendapat apa yang mereka inginkan. Mereka juga diuji untuk melihat tahap keimanan mereka. Tetapi hati mereka tetap tidak mahu mengikut perintah Allah malah mengejinya, mencerca para utusan Allah dan menyembah benda yang lain. Tinggallah mereka yang tetap beriman yang selamat dari ancaman dan pembalasan Allah. 

Mungkin itu lebih kepada keingkaran. Ini kerana, sifat bersangka ini wujud sebelum keingkaran itu sendiri. Kerana mereka yang bersangka baik akan taat kepada perintah Allah.

Mari kita lihat dalam kehidupan hari ini. Saya sendiri amat susah dari bersangka baik dengan manusia di sekeliling saya. Banyak cerita tentang orang lain kita kisahkan. Kadang-kadang sehingga timbul cerita yang tidak benar. Kita mahukan agar orang lain lebih teruk dari kita. Kita sentiasa mahukan lebih dari orang lain. Kita kutuk, kita pandang rendah dengan perbuatan orang lain.

Kecurian yang berlaku di suatu tempat menjadikan penduduk setempat menjadikan orang luar yang tidak tahu apa-apa menjadi calon pencuri. 

Mari kita nilai diri kita sendiri. Buang sangkaan buruk kita terhadap orang lain. Bersangka baiklah kepaa orang di sekeliling kita. Salah satu cara untuk hilangkan sangkaan buruk adalah dengan kita berjumpa dengan orang berkenaan. Berceritalah dan berbuallah. Tatkala kita sedang duduk dan orang sebelah mula bercerita buruk tentang orang lain maka kita tegurlah. Jika tidak mampu dihentikan, maka kita jauhkan diri kita agar kita tidak memakan daging sahabat kita sendiri.

Bersangka baiklah!


Thursday, 20 June 2013

Fitrah

Bismillahirrahmanirrahim,

Pada suatu malam, saya dan sahabat saya berbincang mengenai fitrah.

Salah satu fitrah yang dijadikan pada manusia untuk mempunyai kepercayaan. Jika kita lihat balik dalam sejarah, salah satu asas dalam kehidupan mereka adalah mempunyai kepercayaan. Kepercayaan itu boleh jadi apa apa sahaja. Menyembah pokok, sungai, tuhan tuhan ciptaan minda dan lain lain.

Sungguh, Islam itu merupakan kepercayaan yang sebenarnya.

Banyak riwayat, kisah dan pendapat berkenaan hati. Saya bukan seorang pakar hati. Malah bukan juga yang mudah tersentuh hati. Tapi itu tak penting.



Perkara penting untuk diingati bersama adalah, fitrah manusia adalah untuk mempunyai kepercayaan. Di mana letaknya kepercayaan ini? Maka letaknya di hati kerana kepercayaan akan menentukan tatacara hidup kita.

Satu lagi perkara adalah bagaimana ayat ayat al Quran disusun dan disampaikan selari dengan fitrah manusia yang sebenar benarnya. Tidak hairan jika kita dalami ayat ayat Quran itu, ia masih lagi mampu menyentuh hati hati manusia ini sedalam-dalamnya.

Moga kita dapat ambil sedikit pengajaran dalam meningkatkan lagi kualiti hidup kita. Ujian yang mendatang pada hari berikutnya sudah pasti lebih kuat dan mencabar dalam menjadikan kita hambaNya yang benar bertaqwa. 

Salam jumaat. Selamat mambaca surah al Kahfi dan perbanyakkan berdoa. 


Tuesday, 18 June 2013

Peringatan

Bismillahirahmanirrahim,



Suatu masa dulu, saya adalah seorang penunggang yang cuai. Malah sampai ke hari ini juga. 

Antara kecuaian yang benar-benar mengajar saya adalah ketika saya terlanggar sebuah kereta yang tiba-tiba bergerak di lampu isyarat. 

Maka ketika itu, saya pasrah. Ye la, dah langgar. Takkan nak lari pulak kan. Maka tuan kereta tu dengan nada marah suruh saya mencari penyambung 'bumper' kereta kerana waktu tu 'bumper'depan kereta MyVI dia tertanggal sikit. 

Saya pun cari lah. Jenuh jugak. Ada satu je. Cari lagi satu tak jumpa. Tuan kereta tu suruh tunggu kat perhentian bas selepas simpang.

Dia arahkan saya cari lagi sampai dapat. Ikutkan hati memang nak balas balik tapi memang saya yang salah. Saya cari. Tapi baru lepas 2 minit dia panggil saya semula. 

Kami berbual sebentar. Dia tegur saya pasal banyak benda. Memang saya menunggang dalam keadaan tertekan waktu tu. 

Cuma pesan lelaki itu yang masih saya ingat adalah, 'kau kena ingat, motor ni 2 tayar je. Kau langgar jatuh. Kalau kena langgar pun jatuh jugak. Kalau apa apa jadi, ada insurans pun tak guna lagi dah.'

Begitulah kisahnya. Dan kini Alhamdulillah, saya tidak lagi terlibat dalam kecuaian walaupun cara memandu saya agak dahsyat. Berhati-hatilah semasa memandu. Memang ajal maut itu di tangan Tuhan. Tapi tak bermakna kita tidak boleh memandu berhati-hati dan tidak menyusahkan pengguna jalanraya yang lain. Sekian.

Adakah kita benar-benar ikhlas

Biamillahirrahmanirrahim,

Bila manusia itu diuji, itu tanda Allah sedang melihat kita. Sedang hakikatnya, memang itu Tuhan itu Maha Melihat. Ujian itu lumrah. Kita diberi pilihan samada untuk meningkatkan diri kita ataupun tidak.

Antara ujian yang bisa menimpa diri kita adalah ujian keikhlasan. Ya, ujian keikhlasan. 

Keikhlasan itu adalah urusan antara diri kita sendiri dan Allah sahaja. Tiada yang lain yang mampu menilai keikhlasan seseorang. Tatkala ujian keikhlasan itu mendatang, Allah sedang menguji, adakah kita benar-benar ikhlas?

Semasa kita melihat sahabat kita sedang buat kerja lebih dari kita. Kira merasa iri hati. Kita buat perkara yang sama tapi tidak mendatangkan hasil. Adakah kita benar-benar ikhlas?

Kita melihat ramai manusia berbuat baik. Kita buat perkara yang sama baik atau lebih. Tapi masih kita rasa tidak puas hati dengan orang di sekeliling kita. Adakah kita benar-benar ikhlas?

Kita kecewa tatkala tidak mendapat sesuatu seperti yang diharapkan. Sedang orang lain sedang menikmati kurnia yang sering datang tidak kunjung sudah. Adakah kita benar-benar ikhlas?

Kita mempersoalkan orang lain tentang tindakan mereka. Kita mempersoalkan tentang kebenaran perancangan orang lain. Kita mempertikaikan apa yang diungkapkan oleh orang lain. Sedang kita tidak berbuat apa-apa. Dalam hati kita mengharapkan harta. Kita mendambakan pujian manusia lain. Kita mahukan segala-galanya di dunia sedangkan ia tidak kekal. 

Hati yang dilitupi kabus jahiliyah yang tebal akan menghalang cahaya hati dari menerangi jasad insan itu dan menjadikan diri kita baik.

Betapa kekecawaan itu amat mengaburi diri ini buat beberapa ketika yang lepas. Sedang apa yang perlu diberulkan adalah ego yang seharusnya direndahkan.

Betapa saya suka menghukum manusia lain atas tindakan mereka walhal saya yang seharusnya diperbetul.

Berdoalah agar hati ini sentiasa tetap dalam kesetiaan kepada Allah. 

Berdoalah agar kita menjadi benar-benar ikhlas.

Sampai Syurga

Bismillahirrahmanirrahim,

Setiap kali saya bersalaman dengan seseorang, biasa saya katakan, 'Jumpa Lagi'.

Kini, saya mengerti suatu makna baru dalam perkataan jumpa lagi tersebut. Apa yang saya maksudkan adalah, jumpa lagi kelak, jika bukan di dunia sekalipun, kita berjumpa semula di syurga, kerana kita punya tempat tuju yang sama bukan?










Saya pasti merindukan semuanya. Insha Allah, saya akan mendoakan semuanya supaya kita akan bersama di syurga. 

Ya Allah, sesungguhnya Engkau tahu,
Bahawa hati ini telah berpadu,
Berhimpun dalam naungan cintaMu,
Bertemu dalam ketaatan,
Bersatu dalam perjuangan, 
Satukanlah hati-hati kami sebagaimana Engkau satukan bumi ini dalam keadaan yang sempurna. 

Kau pertemukanlah kami di syurga ya Allah...


Sunday, 16 June 2013

Si Tempua

Bismillahirrahmanirrahim,

Sering aku lihat,
Si Tempua itu sedang berehat di sarangnya,
Pada sebatang pokok,
Di sebuah kawasan paya,

Sarangnya cukup cantik,
Tampak kemas serta tersusun,
Aku kagum,
Betapa bijak haiwan ini,
Betapa hebat ciptaan Sang Pencipta ini,

Saban hari,
Ketika aku melalui,
Kawasan Si Tempua itu,
Banyak sarang kawan-kawannya sudah hilang,
Setiap hari aku lalu kawasan itu,
Satu persatu hilang,

Aku tahu,
Bahawa tangan manusia yang pasti mengambilnya,
Mengapa perlu diambil rumah milik Tempua itu?,
Tidak malukah kita mengambil harta makhluk lain?,
Adakah kerana harga dan minat menghalalkannya?

Maka tinggallah Si Tempua yang masih berada di pohon yang sama,
Mungkin masanya belum tiba,

Kali terakhir aku lihat,
Engkau baru keluar dari sarang,
Tiba manusia datang mengambil sarangmu,
Aku hanya mampu melihat,
Maafkan aku andainya kerana aku tidak berbuat apa

Si Tempua,
Pergilah engkau merantau ke tempat yang selamat,
Mungkin aku sudah tidak dapat melihat sebahagian dari keindahan alam ini,
Namun aku sudah cukup lega sekiranya engkau masih hidup di bumi yang lain.


Kematian

Bismillahirrahmanirrahim,

Ketika saya ingin menulis post kali ini, sekali lagi, saya mendapat berita baru berkenaa kematian seorang pelajar universiti di Shah Alam. Innalillahi wa inna ilaihi raji'uun. Mari kita sedekahkan al Fatihah kepada arwah di samping mengingatkan diri kita sendiri yang bakal menghadapi sakaratul maut yang hakikatnya sangat dengan kita. 

Mari kita lihat kepada sepotong ayat Quran dari surah Al Mulk, ayat 2.

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)

Ayat ini mengatakan penciptaan kematian sebelum kehidupan. Sedangkan kita ini sedang merasai kehidupan. Mari kita renungkan untuk mengambil peringatan dari banyak peringatan yang diberikan kepada kita. 

Kita tidak mampu untuk menolak kematian sebagaimana kita tidak mampu untuk menolak kehidupan. Wujudnya kedua-dua itu adalah untuk memberi kita peringatan dan pengajaran. Malah kedua-dua itu adalah ujian kepada kita. Ujian apakah? Ujian samada kita akan beramal lebih baik atau tidak.

Mari kita bermuhasabah bersama. Adakah kita sudah melakukan yang terbaik kita mampu lakukan dalam menambah baik amalan kita. Selain dari itu, adakah sudah cukup baik amalan kita atau kita hanya termasuk dalam kalangan mereka yang rugi seperti mana yang Allah katakan di dalam surah al Kahfi. Usah dilihat pada orang lain. 

Sungguh rugi sekiranya kita masih lagi berada di takuk yang lama dan rugi juga sekiranya kita bersangka bahawa kita telah benar benar melakukan amalan yang baik sedangkan kita adalah tergolong dalam kalangan mereka yang rugi.

Semoga kematian sentiasa menjadi pendorong kita untuk beramal dengan lebih baik. 


Thursday, 13 June 2013

Bilakah lagi?

Bismillahirrahmanirrahim,
Allah berfirman,
“Katakanlah, ‘Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya?’ Yaitu, orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya.”
(QS. Al-Kahfi: 103-104)
Persoalan yang perlu kita bangkitkan dalam diri kita selalu. Adakah kita benar-benar ikhlas dalam melakukan amal kebaikan. Mari kita sama-sama bertanya dalam diri kita sendiri kerana keikhlasan hanya urusan individu dengan Allah swt. Tiada individu lain yang dibenarkan menilai keikhlasan seseorang hatta dia seorang yang banyak pengalaman sekalipun. 
Ketinggian ego dalam diri menyebabkan kita sentiasa merasakan diri kita seakan-akan benar. Malah kemuncak kepada keegoan adalah keengganan dalam menerima nasihat dan mula menyalahkan orang lain. Ego membuat diri rasa lebih baik dari orang lain dan menidakkan tingkah laku individu lain. 
Tatkala orang lain berbuat kebaikan, kita merasa cemburu. Kita mula mengatakan bahawa apa yang dia lakukan tidak benar. Tatkala orang lain mendahului diri kita dari segi akademik, kita mula bersangka-sangka dengan latar belakang dia dan mengatakan diri kita bernasib malang tapi punyai kelebihan yang orang lain tidak miliki. Apabila, orang lain mendahului dari segi amal, kita kata orang itu mahu menunjuk-nunjuk. Kita kata orang itu bersikap tidak adil kerana dia punya kelebihan dari sudut tertentu. Kita kata itu dan ini. Segala-galanya jadi tidak benar.
Penyakit ego ini ibarat barah yang sukar dibuang tetapi tidak mustahil. Ya, sungguh sakit untuk menyembuhkannya. Namun adakah kita masih mahu barah itu terus merosakkan hati kita?
Bilakah lagi kita mahu sedar dan mula berubah untuk menjadi lebih baik. Bilakah lagi kita mahu jadi lebih berani dalam mengorak langkah supaya kita mampu untuk menjadi seorang pemimpin yang mampu memimpin dirinya sendiri dan juga masyarakat di sekelilingnya. Bilakah lagi kita mahu menambah nilai dalam diri agar kita mampu untuk mendidik diri dan mendidik masyarakat. Bilakah lagi kita mahu sedar?
Ujian yang datang bukti Allah swt sedang melihat kita. Belajarlah untuk menerima nasihat. Dapatkanlah pengajaran dari sekeliling kita. Mulailah untuk melihat dengan mata hati .Buangkanlah egomu. 
Saat saya menulis ini, saya masih risau bahawa saya adalah orang yang rugi itu. Mohon maaf kerana saya  sering melukakan hati kalian. Semoga kelak kita ditempatkan di kalangan hamba Allah yang soleh, Insha Allah. 
Sekian. 

Jawapan

Bismillahirrahmannirrahim,

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Al Ankaboot : 2)

Pernahkah kita melalui suatu saat di mana kita berasa bebas dari sebarang masalah? Kita tidak dihimpit dengan tekanan yang membuat kita seakan-akan tersekat dalam melaksanakan suatu kerja secara baik dan lancar. 

Seorang kawan pernah berkata, "kita tak dapat lari dar tekanan. Hatta, jika kita tak merasakan sebarang tekanan sekalipun, maka itu adalah suatu tekanan."

Tekanan adalah ekspresi individu terhadap apa yang berlaku. Masalah adalah penyebab kepada tekanan. 

Selalunya, kita mengambil langkah mudah dalam menyelesaikan suatu masalah kerana ia tak memenatkan kita. Maka, selesailah masalah itu dengan yang mudah. Ada masa lain pula masalah yang datang sangat membebankan kita kerana jalan penyelesaian dilihat seperti terlalu mustahil. Biasanya pula, bila kita semakin meningkat dewasa, masalah datang bertimbun-timbun.

Akhirnya, masalah itu menjadi sinonim dengan kehidupan kita. 

Ingatlah, ketika Allah berfirman seperti di atas, maka dapat kita ambik secara unum bahawa kita memang tidak dapat lari dari masalah. Kerana masalah itu suatu ujian. 

 Secara fitrah, rata-rata manusia itu sentiasa inginkan peningkatan dalam hidup. Maka ujiandatang dalam menyediakan kita dengan fasa baru dalam kehidupan kita. Setiap manusia menerima ujian. Persoalannya adalah, bagaimana kita ingin menghadapinya?

Kebanyakan kita tahu berkenaan ayat bahawa Allah menguji hambaNya mengikut kemampuan masing-masing.

Tatkala saya sedang menulis, saya teringat beberapa ujian yang sangat menguji saya. Jika hendak dibandingkan dengan umat terdahulu, maka ujian hanya ujian yang ringan sahaja. Namun, ketika itu saya diuji dengan keikhlasan saya dalam menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan kepada saya. 

Aamyang saya cuba ketengahkan adalah, carilah jawapan. Sesungguhnya jawapan itu ada di sekeliling kita. Saya menemui jawapan saya dengan mengambil masa untuk menjelajah bumi dan berada bersama dengan kawan saya. Maka saya jumpai jawapan itu. 

Sekali lagi saya katakan, jika kamu menemui masalah, menghadapi tekanan dan diuji, maka, carilah jawapannya!

Wednesday, 12 June 2013

Trip ke Perak 3

Bismillahirrahmanirrahim,

Kini, masuk hari ke-3 (4/6/13) bagi perjalanan saya dan kawan ke Perak. Mungkin ini adalah perjalanan terakhir kami sebagai pelajar. Hahaha... Sebab kami semua pun dah berada di tahun akhir dan ada yang akan merantau jauh lepas ni. Pertemuan akan datang mungkin tak dapat dijangka bagaimana untuk dilaksanakan dan juga bila... Tak apa, sebab kita semua menuju destinasi yang sama. Insha Allah.

Pagi itu saya mengambil sedikit masa untuk memancing di kawasan tanjung yang berbatu. Katanya di situ ada banyak ikan. Memang ada, tapi saya hanya dapat yang bersaiz kecil. Jadi saya lepaskan semula dalam dengan harapan ikan itu akan terus sihat dan selamat.

Pada pagi itu juga, saya bangun awal. Manusia itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Jadi, bila berada di tempat yang tenang kita akan mula bermuhasabah. Pada masa yang sama jugalah kita akan bersyukur dengan segala apa yang dikurniakan kepada kita selama ini. Itu apa yang berlaku pada pagi itu.

Selepas dari memancing, kami berkemas untuk ke destinasi yang seterusnya, Gua Tempurung, Gopeng. Sekali lagi, apa yang agak kelakar waktu itu adalah, orang Perak tak tahu jalan nak ke Gopeng. Hahaha...
Tak apa, tak ada masalah...

Dalam perjalanan, kami singgah di Ayer Tawar untuk bersarapan pagi di sebuah kedai makan terletak berdekatan pejabat kerajaan. Makanan di kedai itu sungguh sedap. Harga pun tak mahal. Sangat berbaloi. Cuma saya tak ingat nama kedai itu. Yang saya ingat, nama seorang wanita. Mungkin pemilik kepada kedai makanan tersebut. Terbaik Makcik!! Bagi siapa-siapa yang lalu kawasan Ayer Tawar bolehlah singgah. Tak susah pun nak cari. Terletak di jalan utama. Papan kedai warna merah jambu.

Seterusnya, kami sambung perjalanan ke Gopeng melalui Seri Iskandar. Kami melintasi UTP, UiTM, Kellie's Castle dan macam-macam lagi. Apa yang paling menarik perhatian saya ialah bentuk muka bumi negeri Perak. Pemandangan semasa perjalanan cukup indah. Kalau diteliti bentuk muka bumi, mungkin idea yang mengatakan kawasan tersebut dahulunya berada di bawah paras laut adalah benar. Sebab, kebanyakan bukit di kawasan itu adalah bukit batu kapur. Dalam kata lain sebenarnya, tak rasa stress bawak kereta walaupun penat.

Setibanya di Gopeng setelah hampir 1 jam perjalanan dari Teluk Batik (tolak waktu makan dan singgah beli barang), kami terus menuju ke Gua Tempurung. Memang biasa, papan tanda di Malaysia akan menunjukkan tempat itu bila dah nak dekat (wahaha...)

Kami ambil pakej Top Of the World. Harga tak ingat pasal saya tak bayar. Bila masuk dalam gua, kena ada guider. Tapi petugas di kaunter suruh kami kejor guider (En Amin) yang sudah berada di dalam gua dengan satu kumpulan yang datang lagi awal. Jadi, dalam tidak sedar, saya menggantikan tugas En Amin tersebut dengan menerangkan secara terperinci tentang gua itu kepada kawan-kawan saya sebab saya rasa bosan masuk dan jalan-jalan saja. Tapi biasanya orang susah nak percaya cakap saya sebab saya suka main-main dan mengarut. Tapi, ironinya, bila kami sampai pada En Amin, beliau mengulang apa yang saya dah cerita pada kawan-kawan saya tadi. *Sigh.... hahaha...

Apa yang penting, gua ini asalnya diteroka oleh askar komunis. Mereka menjadikan gua ini sebagai salah satu markas mereka. Nak kata kemudah lengkap dalam gua ni pun boleh juga sebab ada sumber air. Gua ini sebenarnya panjang lagi. Tapi pakej kami hanya membolehkan kami untuk sampai di tengah-tengah gua sahaja. Tak sampai ke hujung. Tambah lagi, apa yang ada dalam gua selain dari pemandangan yang menarik adalah rasa rendah diri yang perlu kita bina dalam diri. Teringat satu ayat berkenaan perumpamaan yang Allah kisahkan di dalam Al Quran berkenaan Al Quran yang diturunkan kepada gunung tetapi gunung itu terus terpecah belah kerana tak sanggup untuk memikul tanggungjawab dan amanah sebagai khalifah. Sebagai manusia,kita seharusnya selalu ingat akan perkara itu.

Selesai pengembaraan di dalam gua bersama kawan-kawan, kami bertolak ke Ipoh untuk ke rumah kawan yang berasal dari Perak juga. Nasib baik, dia masih ingat jalan nak balik ke rumah. Kami melalui PLUS dan masuk melalui tol Ipoh. Semasa dalam perjalanan, saya kata, rupanya banyak tempat lagi boleh pergi di Perak ni. Huhu...

Rumah kawan kami ini dikawasan Bercham. Lokasi sebenar adalah dirahsiakan. Kami makan-makan di rumah beliau.  Mak kawan saya ni memang style, pasal dia ada masak rendang untuk makan tengahari. Makanan yang sangat sedap walaupun dimakan ketika tidak lapar. Kami tumpang solat dan rehat sebentar sebelum pulang semula ke Universiti X, Selangor.

Lebih kurang pukul 4.30 pm kami bertolak pulang. Sedikit kecewa kerana Ayah kepada kawan saya masih belum pulang dari kerja. Takpe, lain kali boleh jumpa. Ziarah rumah kawan adalah pengalaman yang amat bermakna bagi saya.

Bersambung....

Monday, 10 June 2013

Trip ke Perak 2

Bismillahirrahmanirrahim,

Untuk hari kedua, ada beberapa tempat yang kami singgah. Rumah kawan, sungai pecah batu, lumut dan teluk batik. Untuk setiap tempat, perjalanan lebih kurang setengah jam. Kebetulan pagi tu, kami tidur lewat. Dalam pukul 3.30 am sebab masing-masing excited nak dapat ikan. Ada yang minum kopi sampai tak boleh tidur. Masing-masing waktu tu rasa lapar, dahaga, pergi cari kayu api nak buat unggun sebab sejuk dan berbincang.

Awal pagi tu kami solat dalam lebih kurang pukul 6.15 am. Lepas tu khidmat diri (mandi, etc.) Saya sambung memancing dengan berkain pelekat. Dah macam nelayan rasanya.

Selepas semua dah habis kemas, kami pun bertolak ke rumah kawan di Pantai Remis. Nama Pantai Remis, tapi katanya tempat tu tak ada remis pun. Mudah ja nak pergi rumah kawan saya ni. Nasib baik dia ingat jalan nak balik rumah. Hahaha... Di rumah kawan saya ni, Abah dan Ummi beliau menyediakan 'Laksa Mee'. Penyediaan makanan ni ala-ala spaghetti. Cuma dia ada sup. Sos dia menggunakan sambal. Makanan ni hanya ada dibuat di Pantai Remis dan Pulau Pangkor saja. Tiba-tiba datang idea nak buat bisnes. Hahaha... Makanan tu sedap walaupun dimakan ketika tidak lapar. Sebab biasanya semua makanan sedap bila lapar. Tapi Laksa Mee ni memang sedap. Saya seorang tambah sampai 3-4 kali (tak ingat). Kemudian kami berborak dengan Ayah kawan saya ni. Dia seorang yang amat bagus bagi saya. Seorang yang bersederhana. Dia bercerita tentang kisah dia semasa dia masih seorang mahasiswa. Dia seorang yang berfikiran jauh dan kritis. Idea-idea dia masih diperlukan dari beberapa persatuan pelajar di universiti dalam menetapkan halatuju sesuatu perkara. Apa yang paling saya kagum adalah dia masih ingin menyumbang sekalipun pada usia yang agak lanjut. I am proud of you Pakcik.

Kemudian, kami bertolak ke Trong untuk ke Sg Pecah Batu. Setakat ni, sungai ni antara yang terbaik saya pernah pergi. Selalunya, sungai yang saya pergi airnya dah tak berapa bersih. Kemungkinan sebab ada pembalakan dan terlalu ramai orang datang. Sungai Pecah Batu ni, air bersih dan ada banyak tempat yang boleh buat lompatan sebab dalam. hahaha...

Seterusnya, sebahagian kawan kami pergi menyediakan ayam perapan untuk dibuat bbq malam nanti. Saya dan 2 orang lagi pergi cari umpan. Kami beli udang dan sotong. Asalnya nak dibuat umpan hidup tapi dalam perjalanan ke teluk batik, dah habis mati semua. Hahaha...takde masalah. Selepas dah solat semua, kami pun bertolak ke teluk batik.

Sebelum ke teluk batik, kami singgah di Lumut untuk makan dan jalan-jalan. Biasanya orang datang beli barang di Lumut tapi saya tak pandai nak beli barang ni. Jadinya, ikut je la kawan-kawan beli barang lepas makan. Selain dari membeli belah, kami juga menangkap gambar. Biasa la tangkap gambar. Buat kenangan masa muda-muda bila dah tua nanti (kalau masih ada). Apa yang buat saya tertarik waktu di Lumut adalah bila kawan saya kata, lelaki dan perempuan tu berbeza. Perlunya ada kesefahaman dan raikan perbezaan. Saya tak ingat ayat sebenar tapi saya hanya dapat interpretasi dari ayat beliau, kawan saya ni. Sangat mendalam bagi saya sebab saya selalu lupa hakikat ini.

Kemudian kami pun ke teluk batik. Saya pun dah nak blackout pasal rasa penat sangat. Tapi dalam penat-penat tu sempat juga la memancing, pekena bbq, sharing dan baru masuk tidur.

Beza teluk batik dan teluk senangin adalah teluk batik lebih selesa cuma kemudahan tandas tak ada waktu malam. Semua tandas tutup. Kalau nak, kena pergi keluar. Kalau memancing pula, tempat ni ada ikan cuma tak berapa besar. Kami ada dapat ikan tapi kurang. Juga, bila dapat kami lepas semula. Ada dapat ikan duri dan gelama. Tak besar pun.

Trip ke Perak

Bismillahirrahmanirrahim,

Minggu lepas, 2-4 haribulan 6, saya dan kawan-kawan saya buat satu trip ke Perak. Sebelum ni, saya memang pernah sampai ke Perak, cuma, bukan untuk satu tempoh yang panjang dan tidak pergi banyak tempat. Saya yakin, ini antara trip yang menarik saya pernah ikut. Jumlah semua yang pergi, 8 orang. 2 kereta. Penuh dengan barang. Banyak tempat yang kami pergi. Sangat menyeronokkan dan yang paling penting, penuh dengan pengajaran.

ahad - 2/6/13

kami bertolak jam 11 am. plan asal 10 am, tapi, masing-masing ada urusan yang tiba-tiba ada. Jadi kami bertolak lewat sikit. Tak ada apa pun, sebab tak lari rancangan asal sangat. Kami melalui jalan duta, keluar tol jalan duta dan melalui lebuhraya utara-selatan menghala ke ipoh. setelah hampir 2 jam, kami masuk melalui tapah. Sebelum tu berhenti sekejap di hentian Tapah. Selepas itu, kami sambung perjalanan terus ke teluk Senangin yang mengambil masa 3 jam. Awal perjalanan saya yang pandu. Cuma lepas tu, kami ikut org yang tinggal di Perak. Tapi, sayangnya, dia tak berapa mahir dengan jalan rupanya. Selama ni dia kata, dia hanya naik kereta abang dia saja. Dia tak berapa tahu sangat. Tak apa lah. Banyak kawasan juga kami lalu. Tapah-Bota-Segari. Perjalanan yang sangat panjang. Adalah dalam 12 kenduri kami tempuh. Macam nak singgah tapi segan (hahaha...).

Dalam perjalanan, disebabkan lapar, kami singgah di Roti Segar. Kami ingat makan tengahari roti saja. Tapi yang lead kata tempat tu ada masakan panas. Oh.... sebab nama kedai roti kan. Ingatkan roti saja yang ada. Rupa-rupanya, tempat ni pernah masuk rancangan "Jalan-jalan cari makan". Menarik! Roti yang dia buat agak sedap. Mungkin yang istimewanya ialah, kualiti roti dan kek yang dia buat adalah tahan lama. Lagi satu, dijual pada harga yang murah. Waktu kami masuk ke kedai, tak penuh sangat tapi ada ramai juga orang. Kawasan kedai ni tak ingat. Mungkin boleh cuba cari di internet. Mesti ada punya la. Kami singgah makan kt kedai ni kemudian kami sambung perjalanan. Yang saya agak terharu bila kawan-kawan saya belikan kek. Hahaha... Tak sangka sungguh. Terima kasih....

Kami plan untuk buat jama' ta'khir sebab kami tak pasti berapa lama lagi perjalanan dan jam dah masuk pukul 4. Akhirnya, selepas hampir satu jam, kami sampai ke teluk senangin. Tempat yang agak ceruk. Sebab  hujung minggu, jadi agak ramai orang di pantai. Kami cuba cari tempat dahulu tapi macam susah sikit sebab orang agak ramai. Jadi, kami pergi solat dulu di surau (di kampung nelayan) kemudia kami pergi pilih tempat. Kami pilih tempat yang berdekatan dengan pintu gerbang teluk senangin sebab nampak lagi selesa dan bersih. Kawan saya akui yang teluk senangin sangat berbeza dari kali terakhir dia pergi. Tak apa. Yang penting semua selamat sampai dan tempat tu ada ombak yang sangat best. Ombak tinggi.

Kami mandi laut dulu kemudian baru kami pasang khemah. Siapkan barang-barang. Solat maghrib dan isya'. Makan-makan. Kemudian bersiap untuk memancing. Pengalaman memancing di teluk senangin sangat menarik. Kami guna umpan udang. Ada la dalam 3 kali dapat ikan. Tapi kami lepaskan semula. Umpan pun orang bagi sebab tak sempat nak pergi kedai. Ombak waktu tu sangat kuat. Capai lebih 1 meter tinggi juga rasanya sebab berdiri dalam air dan ombak lagi tinggi.

Dekat dengan tempat kami berkhemah, ada tandas 24 jam. Cuma tuan kedai je la yang tak ada kt situ 24 jam. Boleh pakai. Bayar pada tuan tu esok pagi. Bayaran RM 1. Tempat kami khemah tu tak berapa gelap sebab ada lampu jalan dan kedai. Kebetulan malam tu ada orang yang berkhemah sekali. Satu family rasanya. Mereka pun memancing jugak.

Apa yang saya dapat ? Tak pasti. Mungkin penat memandu je rasanya. Petang tu agak pening-pening juga semua sebab tak tau mana nak berkhemah. Tapi semua ok Alhamdulillah.



Saturday, 8 June 2013

Kepercayaan dan Saling Memaafkan

Bismillahirrahmanirrahim,

Suka saya untuk mengongsikan sebuah cerita yang saya ambil dari buku Dalam Dekapan Ukhuwwah karya Salim A. Fillah. Sebuah kisah di antara kisah-kisah yang mempunyai pengajaran dan manfaat dalam kita menjalani kehidupan seharian. 

Asas utama dalam hidup berjamaah yang sekukuh janji adalah kepercayaan.
Umar ibn Al Khattab sedang duduk di bawah sebatang kurma. Serbannya dilepas, menampakkan kepala yang rambutnya mulai teripis di beberapa bahagian. Di atas kerikil dia duduk, dengan cemeti imaratnya tergeletak di samping tumpuan lengan. Di hadapannya para pemuka sahabat bertukar fikiran dan membahas berbagai persoalan.
Ada anak muda yang tampak menonjol di situ. Abdullah ibn ‘Abbas. Berulangkali Umar memintanya bicara. jika perbedaan wujud, Umar hampir selalu bersetuju dengan Ibnu abbas. Ada juga Salman Al-Farisi yang tekun menyimak. Ada juga Abu Zar Ghifari yang sesekali bicara berapi-api.
Pembicaraan mereka segera terjeda. Dua orang pemuda berwajah mirip datang dengan mengapit pria belia lain yang mereka cekal lengannya.
“Wahai Amirul Mukminin,” ujar salah seorang daripada mereka ” Tegakkanlah hukum Allah atas pembunuh ayah kami ini! ”
Umar bangkit. “Takutlah kalian kepada Allah!” ujar Umar. “Perkara apakah ini?”
Kedua pemuda itu menegaskan bahawa pria belia yang mereka bawa ini adalah pembunuh ayah mereka. Mereka siap mendatangkan saksi dan bahkan menyatakan bahawa si pelaku ini telah mengaku.
Umar bertanya kepada sang tertuduh, “Benarkah apa yang mereka dakwakan kepadamu ini?”
“Benar wahai Amirul Mukminin!”
“Engkau tidak menyangkal dan di wajahmu kulihat ada sesal!” Umar menyelidik dengan teliti.
“Ceritakanlah kejadiannya!”
“Aku datang dari negeri yang jauh, ” kata pemda itu. “begitu sampai di kota ini, aku tambatkan kudaku di sebuah pohon dekat kebun milik keluarga mereka. Ku tingggalkan ia sejenak untuk mengurus suatu hajat tanpa aku tahu ternyata kudaku mulai makan sebahagian tanaman yang ada di kebun mereka.”
“Saat aku kembali,” lanjutnya sembari menghela nafas, ” Kulihat seorang lelaki tua yang kemudian aku tahu adalah ayah dari kedua pemuda ini sedang memukul kepala kudaku dengan batu hingga haiwan malang itu tewas mengenaskan. Melihat kejadian itu, aku dibakar amarah dan kuhunus pedang. Aku khilaf, aku telah membunuh lelaki tua itu. Aku memohon ampun kepada Allah kerananya.”
Umar termenung.
“Wahai Amirul Mukminin,” kata salah satu dari kedua adik beradik itu, “Tegakkanlah hukum Allah. Kami minta qishash atas orang ini. Jiwa dibayar jiwa”

“Bersediakah kalian,” ucap Umar ke arah pemuda penuntut qishash,”menerima pembayaran diyat dariku atas pemuda ini dan memaafkannya?”
Kemudian pemuda itu saling pandang, ” Demi Allah, hai Amirul Mukminin, ” jawab mereka. “Sungguh kami sangat mencintai ayah kami. Dia telah membesarkan kami dengan penuh cinta. Keberadaannya di tengah kami takkan terbayar dan terganti dengan diyat sebesar apapun. Hati kami baru tenteram jika had ditegakkan!”
Umar terhenyak. “Bagaimana menurutmu?” tanyanya kepad pemuda sang terdakwa.
“Aku ridha hukum Allah ditegakkan ke atasku, wahai Amirul Mukminin” kata si pemuda dengan yakin.
“Namun ada yang menghalangiku untuk sementara ini. Ada amanah dari kaumku atas beberapa benda mahupun perkara yang harus aku sampaikan kembali kepada mereka. Demikian juga keluargaku. Aku bekerja untuk menafkahi mereka. Hasil jerih payah di perjalanan terakhirku ini harus aku serahkan pada mereka, juga memohon redha dan keampunan ayah dan ibuku”
Umar terenyuh. Tak ada jalan lain, hudud harus ditegakkan. tetapi pemuda itu juga memiliki amanah yang harus ditunaikan..”Jadi bagaimana?” tanya Umar.
“Jika engkau mengizinkanku, wahai Amirul Mukminin, aku minta waktu tiga hari untuk aku kembali ke daerah asalku guna menunaikan segala amanah itu. Demi Allah, aku pasti kembali di hari ketiga untuk menetapi hukumanku. Saat itu, tegakkanlah had untukku tanpa ragu, wahai Putera Al Khattab.”
“Adakah orang yang bisa menjaminmu?”
“Aku tidak memiliki seorang pun yang ku kenal di kota ini hingga dia bisa kuminta menjadi penjaminku. Aku tak memilki seorang pun penjamin kecuali Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”
“Tidak! Demi Allah, tetap harus ada seseorang yang menjaminmu atau aku tak mengizinkanmu pergi”
“Aku bersumpah dengan nama Allah yang amat keras ‘adzabnya. Aku takkan menyalahi janjiku”
“Aku percaya. Tetapi tetap harus ada manusia yang menjaminmu!”
“Aku tak punya!”
“Wahai Amirul Mukminin!” terdengar sebuah suara yang berat dan berwibawa menyela. “Jadikan aku sebagai penjamin anak muda ini dan biarkanlah dia menunaikan amanahnya!”. Inilah dia Salman al Farisi yang tampil mengajukan diri.
“Engkau hai Salman, bersedia menjamin anak muda ini?”
“Benar, aku bersedia!”
“Kalian berdua adik beradik yang mengajukan gugatan, ” panggil Umar, “Apakah kalian bersedia menerima penjaminan dari Salman Al Farisi atas orang yang telah membunuh ayah kalian ini. Adapun Salman demi Allah, aku bersaksi tentang dirinya bahawa dia lelaki kesatria yang jujur dan tak sudi berkhianat.”
Kedua pemuda itu saling pandang. “Kami menerima,” kata mereka nyaris serentak.
Waktu tiga hari yang disediakan untuk sang terhukum nyaris habis. Umar gelisah tak keruan. Dia mundar-mandir sementara Salman duduk khusyu’ di dekatannya. Salman tampak begitu tenang padahal jiwanya di hujung tanduk. Andai lelaki pembunuh itu tak datang memenuhi janji, maka dirinyalah selaku penjamin yang akan menggantikan tempat sang terpidana untuk menerima qishash.
Waktu terus menghambat. Pemuda itu masih belum muncul.
Kota Madinah mulai terasa kelabu. Para sahabat berkumpul mendatangkan Umar dan Salman. Demi Allah mereka keberatan jika Salman harus dibunuh sebagai badal (ganti). Mereka sungguh tak ingin kehilangan sahabat yang pengorbanannya untuk Islam begitu besar itu . Salman seorang sahabat yang tulus dan rendah hati. Dia dihormati. Dia dicintai.
Satu demi satu dimulai dengan Abu Darda’ beberapa sahabat mengajukan diri sebagai pengganti Salman jika hukuman benar-benar dijatuhkan kepadanya. Tetapi Salman menolak. Umar juga menggeleng. Matahari terus lingsing ke barat. Kekhawatiran Umar makin memuncak. Para sahabat makin kalut dan sedih.
Hanya beberapa saat menjelang habisnya batas waktu, tampak seseorang datang dengan berlari bertatih dan terseok. Dia pemuda itu, sang terhukum “Maafkan aku,” ujarnya dengan senyum tulus sembari menyeka keringat yang membasahi sekujur wajah, “Urusan untuk kaumku itu ternyata berbelit dan rumit sementara untaku tak sempat beristirehat. Ia kelelahan nyaris sekarat dan terpaksa ku tinggalkan di tengah jalan. Aku harus berlari-lari untuk sampai ke mari hingga nyaris terlambat”
Semua yang melihat wajahnya dan penampilan pemuda ini merasakan satu sergapan hiba. Semua yang mendengar penuturannya merasakan keharuan mendesak-desak. Semua tiba-tiba merasa tak rela jika sang pemuda harus berakhir hidupnya di hari itu.
“Pemuda yang jujur,” ujar Umar dengan mata berkaca-kaca, “Mengapa kau datang kembali padahal bagimu ada kesempatan untuk lari dan tak harus mati menanggung qishash?”
“Sungguh jangan sampai orang mengatakan,” kata pemuda itu sambil tersenyum ikhlas, “Tak ada lagi orang yang tepat janji. Dan jangan sampai ada yang mengatakan, tak ada lagi kejujuran hati di kalangan kaum Muslimin.”
“Dan kau Salman,” kata Umar bergetar, “Untuk apa kau susah-susah menjadikan dirimu penanggung kesalahan dari orang yang tak kau kenal sama sekali? Bagaimana kau bisa mempercayainya?”
“Sungguh jangan sampai orang bicara,” ujar Salman dengan wajah yang teguh, “Bahwa tak ada lagi orang yang mahu saling membahagi beban dengan saudaranya. Atau jangan sampai ada yang merasa, tak ada lagi rasa saling percaya di antara orang-orang Muslim.”
“Allahuakbar!” kata Umar, “Segala puji bagi Allah. Kalian telah membesarkan hati umat ini dengan kemuliaan sikap dan agungnya iman kalian. Tetapi bagaimanapun wahai pemuda, had untukmu harus kami tegakkan!”
Pemuda itu mengangguk pasrah.
“Kami memutuskan….” kata salah seorang dari adik menyeruak. “Untuk memaafkannya,” Mereka tersedu sedan.
“Kami melihatnya sebagai seorang yang berbudi dan tepati janji. Demi Allah, pasti benar-benar sebuah kekhilafan yang tak disengaja jika dia sampai membunuh ayah kami. Dia telah menyesal dan beristighfar kepada Allah atas dosanya. Kami memaafkannya. Janganlah menghukumnya, wahai Amirul Mukminin.”
“Alhamdulillah! Alhamdulillah!” ujar Umar. Pemuda terhukum itu sujud syukur. Salman tak ketinggalan menyungkurkan wajahnya ke arah kiblat mengagungkan asma Allah, yang kemudian bahkan diikuti oleh semua hadirin.
“Mengapa kalian tiba-tiba berubah fikiran?” tanya Umar pada kedua ahli waris korban.
“Agar jangan sampai ada yang mengatakan, ” jawab mereka masih terharu, “Bahawa di kalangan kaum Muslimin tak ada lagi kemaafan, pengampunan, hiba hati dan kasih sayang.”
**********
Allahumma, satukanlah hati-hati kami. Biarpun jauh terpisah dek jarak dan masa tetapi hati-hati ini menjadi satu dekat kerana menyintaiMu.

Sungguh, kemaafan antara kita adalah pengubat bagi penyakit hati yang telah lama menyerang masyarakat hari ini. Iri hati dan dengki mendengki adalah antara masalah kita hari ini sehingga ramai antara kita yang mengambil langkah untuk terus menjauhkan diri dari kelompok masyarakat itu sendiri. Jauhilah prasangka antara kita. Semoga Allah kurniakan kita ketenangan hidup dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Insha Allah.