Thursday, 13 June 2013

Bilakah lagi?

Bismillahirrahmanirrahim,
Allah berfirman,
“Katakanlah, ‘Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya?’ Yaitu, orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya.”
(QS. Al-Kahfi: 103-104)
Persoalan yang perlu kita bangkitkan dalam diri kita selalu. Adakah kita benar-benar ikhlas dalam melakukan amal kebaikan. Mari kita sama-sama bertanya dalam diri kita sendiri kerana keikhlasan hanya urusan individu dengan Allah swt. Tiada individu lain yang dibenarkan menilai keikhlasan seseorang hatta dia seorang yang banyak pengalaman sekalipun. 
Ketinggian ego dalam diri menyebabkan kita sentiasa merasakan diri kita seakan-akan benar. Malah kemuncak kepada keegoan adalah keengganan dalam menerima nasihat dan mula menyalahkan orang lain. Ego membuat diri rasa lebih baik dari orang lain dan menidakkan tingkah laku individu lain. 
Tatkala orang lain berbuat kebaikan, kita merasa cemburu. Kita mula mengatakan bahawa apa yang dia lakukan tidak benar. Tatkala orang lain mendahului diri kita dari segi akademik, kita mula bersangka-sangka dengan latar belakang dia dan mengatakan diri kita bernasib malang tapi punyai kelebihan yang orang lain tidak miliki. Apabila, orang lain mendahului dari segi amal, kita kata orang itu mahu menunjuk-nunjuk. Kita kata orang itu bersikap tidak adil kerana dia punya kelebihan dari sudut tertentu. Kita kata itu dan ini. Segala-galanya jadi tidak benar.
Penyakit ego ini ibarat barah yang sukar dibuang tetapi tidak mustahil. Ya, sungguh sakit untuk menyembuhkannya. Namun adakah kita masih mahu barah itu terus merosakkan hati kita?
Bilakah lagi kita mahu sedar dan mula berubah untuk menjadi lebih baik. Bilakah lagi kita mahu jadi lebih berani dalam mengorak langkah supaya kita mampu untuk menjadi seorang pemimpin yang mampu memimpin dirinya sendiri dan juga masyarakat di sekelilingnya. Bilakah lagi kita mahu menambah nilai dalam diri agar kita mampu untuk mendidik diri dan mendidik masyarakat. Bilakah lagi kita mahu sedar?
Ujian yang datang bukti Allah swt sedang melihat kita. Belajarlah untuk menerima nasihat. Dapatkanlah pengajaran dari sekeliling kita. Mulailah untuk melihat dengan mata hati .Buangkanlah egomu. 
Saat saya menulis ini, saya masih risau bahawa saya adalah orang yang rugi itu. Mohon maaf kerana saya  sering melukakan hati kalian. Semoga kelak kita ditempatkan di kalangan hamba Allah yang soleh, Insha Allah. 
Sekian. 

No comments:

Post a Comment