Tuesday, 27 May 2014

Iman, ukhuwwah dan bermanfaat kepada manusia

Bismillahirrahmanirrahim,

Sebuah coretan berkenaan explorace yang diadakan pada sabtu lepas bersempena hari belia negara.

Iman menjuruskan sebuah kefahaman menjadi sebuah amali atau praktikal (perbuatan, percakapan, pendengaran dan lain-lain). Iman dibentuk dari kefahaman kepada fitrah manusia iitu sendiri iaitu Islam. Kefahaman dibina dari pengetahuan. Pengetahuan pula diperolehi dari pembelajaran dan pengajaran.


Iman memandu manusia untuk melakukan kebaikan. Ia menentukan samada pisau digunakan untuk memotong sayur ataupun melakukan kejahatan. Ia membezakan samada suatu perkara itu baik atau buruk. Iman boleh bertambah dan menurun. Ingatlah, iman mampu diperkukuhkan seandainya ia dibina dengan satu asas yang kukuh dan jelas iaitu beriman ke pada Allah SWT. Dan untuk memperkukuhkan lagi, iman itu menjurus kepada suatu bentuk perhubungan iaitu ukhuwwah ataupun hubungan silaturrahim sesama manusia. 


Ukhuwwah asa kekuatan. Manusia adalah makhluk yang bersosial. Tidak mampu untuk hidup bersendirian. Sentiasa memerlukan teman dalam hampir setiap masa. Apatah lagi dalam perjuangan. Masakan Nabi Adam turut merasakan kesunyian saat berada di dalam syurga yang serba lengkap.

Ukhuwwah yang terbentuk menerbitkan kasih sayang yang amat mendalam. Lebih dalam dari parit mariam di lautan pasifik. Ia membentuk kekuatan antara satu sama lain. Hubungan itu tidak akan pernah terpisah. Ia tidak hilang dengan berada di tempat yang berbeza. Wujud hatta berbeza umur. Tetap ada walaupun berlainan bangsa. Ukhuwwah yang didasari dengan iman adalah lebih kukuh dari pokok yang akarnya menjalar ke dasar bumi. Hubungan yang kuat dan saling menguatkan. Tatkala lemah, iman itu akan bangkit dengan perasaan cinta yang mendalam kepada saudaranya. Lalu, ketika ukhuwwah itu mulai berteras dan begitu kukuh, maka, terbitlah suatu perkara lain, iaitu mendatangkan manfaat kepada manusia.


Melakukan kebaikan itu mudah. Ruang melakukan kebaikan tidak akan pernah mengecil dan tertutup. Kecilnya ruang melakukan kebaikan itu bukanlah kerana ia tidak hadir tetapi kita yang melarikan diri dari melakukan kebaikan. Islam mengajar kita untuk tidak hidup sekadar untuk beramal ibadat. Hati-hati manusia itu perlu dibangkitkan imannya. Manusia yang telah bangkitkan imannya, yang telah berukhuwwah wajiblah untuk mendatangkan manfaatnya kepada manusia sejagat. Mana mungkin hidup itu akan lebih aman, bumi akan menjadi lebih jika orang yang baik tidak melakukan kerjanya.

Perbaikilah dirimu, pergilah bersama-sama dengan mereka yang menginginkan kebaikan dan bermanfaatlah kepada manusia. Peringatan bersama dalam meniti umur yang semakin singkat.



Okgo, wassalam...



No comments:

Post a Comment