Sedikit perkongsian dari kelas komersial yang diajar oleh dekan fakulti saya. Pada akhir kuliah, beliau berkongsi tentang suatu perkara iaitu, barakah. Apa yang beliau tekankan di dalam kuliah ialah bagaimana kita menjalankan suatu perniagaan yang betul mencapai matlamatnya. Setiap apa yang kita lakukan dalam kehidupan seharian secara hakikatnya, ditetapkan untuk mencapai suatu perkara. Maka dalam perniagaan, bagaimana akhirnya kita mampu untuk melakukan sesuatu yang mana hasilnya bukan sekadar dirasai oleh usahawan itu sendiri malah, turut dirasai oleh masyarakat di sekelilingnya. Sekali lagi, ia sebenarnya dipengaruhi oleh paradigma diri kita masing-masing.
Apa akhirnya yang kita mahu perolehi ? Apa paradigma kita ? Bagaimana kita mahu manfaatkan hasil yang perolehi dari usaha kita?
Secara lumrahnya, kita mahukan sesuatu yang baik dan seterusnya lebih baik lagi dan lagi. Maka, kita aka cuba perbaiki metode yang kita biasa gunakan supaya akhirnya kita akan mendapat hasil yang lebih pada masa akan datang. Sehingga kita mampu memilki berbagai benda.
Namun, pada suatu masa, kita mungkin merasakan ada sesuatu yang tidak kena setelah apa yang kita berjaya capai. Adakah kewangan yang tidak cukup? atau, barang-barang yang tidak terkini (baca 'up to date') ? atau mungkin lagi gangguan dari anasir-anasir luar? Maka, setelah melalui berbagai perkara, rintangan dan cabaran dalam mencapai kejayaan, kita masih merasa ada sesuatu yang tidak kena hadir dalam kehidupan kita.
Apa yang kurangnya dalam keadaan seperti ini adalah keberkatan. Adakah keberkatan itu datang dari manusia? atau dari harta-harta halal itu sendiri? dari usaha yang sungguh melelahkan? atau datang dari Allah swt? Hakikatnya, datang dari semua. Keberkatan itu sendiri bermula dengan memiliki paradigma yang baik, mindset yang betul, niat baik yang sentiasa dijaga, usaha yang tidak kenal lelah dan restu manusia di sekeliling kita.
Ya, ini hanyalah pendapat saya yang saya dapat dari kelas komersialisasi itu. Hanya penilaian yang diambil dari beberapa pengalaman orang yang sudah melaluinya. Antara prinsip yang saya pegang sehingga hari ini adalah, hidup bermakna untuk bermanfaat kepada sesama manusia. Tanpa sekelumit perasaan untuk berbakti kepada masyarakat pasti membuat kita merasa kurang senang. Hati terasa seakan tidak tenang dalam apa yang telah dikecapi.
Di akhir kuliah, pensyarah menekankan semula akan kepentingan keberkatan itu sendiri sekali lagi. Sekiranya, sesuatu pekerjaan yang kita lakukan dimulakan dengan baik (membaca basmalah) diikuti dengan niat yang baik, maka sesuatu pekerjaan itu pasti akan dimudahkan. Ambil contoh, semasa mengambil sampel, mungkin sampel yang sebenar kita mahu dapatkan berada berdekatan dengan tempat kita mengambil sambil, tetapi, kita tidak bersedia dengan baik, maka kita mengambil sampel yang lain. Sekiranya kita bermula dengan baik, maka, Insha Allah, kita pasti diberi kemudahan dan segalanya diberi berkat.
wallahua'lam.
